Pages

Friday 29 August 2014

Sindrom Down


Kanak-kanak sindrom down


DEFINISI
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, Sindrom Down ialah penyakit keturunan disebabkan oleh kromosom tambahan pada kromosom nombor 21 yang terdapat pada seorang kanak-kanak. Tiga salinan kromosom 21 (biasanya hanya dua salinan) terdapat dalam setiap satu sel. Penyakit ini juga dikenali sebagai Trisomy 21. Kanak-kanak yang terlibat lahir dengan ciri-ciri fizikal dan boleh juga mempunyai masalah-masalah kesihatan yang berkaitan dengannya.
Menurut Kamus Dewan edisi ke-empat, perkataan sindrom membawa maksud kehadiran gejala dan tanda yang menunjukkan kepada sesuatu penyakit. Istilah Sindrom Down ini diambil sempena nama seorang doktor berbangsa Inggeris yang bernama Dr. John Langdon Handon Down. Beliau merupakan orang pertama yang telah menjelaskan keadaan serta tanda dan gejala penyakit genetik ini pada tahun 1866.
Menurut buku ‘ Pendidikan Khas untuk Kanak-kanak Istimewa’ karya Jamila K.A. Mohamed, Sindrom Down disebabkan oleh kromosom yang abnormal dan ini adalah punca terencat akal. Kanak-kanak Sindrom Down mempunyai 47 kromosom, iaitu lebih 1 kromosom berbanding kromosom individu normal.

          PUNCA-PUNCA
       Punca bagi keadaan ini adalah berkaitan dengan umur ibu semasa mengandung. Berdasarkan kajian, lebih 50% kanak-kanak sindrom down adalah dilahirkan oleh ibu yang berumur 35 tahun ke atas. Punca utama mengapa kejadian itu berlaku tidak dapat dipastikan tambahan pula memang diketahui umum bapa yang menyumbang kepada kromosom berlebihan dan bukan ibu.


           CIRI-CIRI
           Menurut buku tersebut, kanak-kanak Sindrom Down dapat dikesan sejak lahir kerana fizikal mereka jelas memaparkan kategori itu. Kebanyakan kanak-kanak sindrom down mengalami terencat akal, sama ada ringan ataupun sederhana. Mereka mempunyai rupa paras hamper sama, dengan kulit yang berlipat di bahagian dalam mata, muka yang leper, dan adakalanya dengan lidah yang terjulur. Biasanya mereka cenderung menjadi gemuk dan lebih rendah daripada kanak-kanak sebaya mereka.
Ramai kanak-kanak sindrom down mengalami masalah jantung yang mengehadkan tenaga mereka. Mereka juga biasanya mengalami kesulitan untuk bertutur dan lambat menguasai kemahiran bertutur, dengan hanya menggunakan ayat pendek dan sulit untuk mengeluarkan perkataan. Kebolehan bertutur mereka adalh lebih lambat berbanding keupayaan kognitif mereka. Dalam aspek kemahiran motor kasar dan motor halus, kemahiran ini dapat dicapai oleh kanak-kanak sindrom down tetapi dalam kadar yang lambat. 

           KEPERLUAN
Terapi merupakan kaedah untuk membantu seseorang pelajar untuk bergerak balas terhadap aktiviti atau kemahiran. “Rawatan pemulihan ke atas pesakit yang pernah menghadapi sebarang penyakit atau mengalami sesuatu kecederaan bertujuan menyebabkan kefungsian badan secara normal” (Kamus Perubatan Mosley, 2001).

Dalam konteks Pendidikan Khas, terapi merupakan kaedah bagi membantu individu yang mempunyai pelbagai keperluan khas yang melibatkan kognitif, emosi, sosial dan psikomotor mencapai perkembangan secara maksimum dan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Antara kepentingan terapi ialah bagi meningkatkan daya pengamatan murid-murid, meransang murid untuk bergerak balas secara positif terhadap sesuatu kemahiran serta meningkatkan perkembangan fungsi kognitif, emosi, sosial dan psikomotor mereka. Di samping itu, melalui terapi juga guru-guru dapat melatih murid-murid menguasai kemahiran tertentu yang bersesuaian dan berkaitan dengan kehidupan seharian serta mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif lagi menyeronokkan. ( G. Eliana, 2008, S. Pengilly, 2008; Z. Ibrahim, 2009).

Terapi-terapi yang boleh dilaksanakan ialah terapi fisio, terapi kuda,terapi cara kerja ,terapi pertuturan, terapi muzik dan pergerakan kreatif, terapi seni, terapi air/hidro, terapi pasir, terapi main, dan terapi alternative.
Seorang kanak-kanak sindrom down yang mempunyai masalah pergerakan serta mempunyai masalah pertuturan dan pengamatan.Aktiviti terapi yang diperlukan ialah terapi motor kasar iaitu berjalan, berlari, gallop dan lompat di garisan lurus, di garisan bengkok dan menggunakan alatan seperti bangku.Selain itu terapi pengamatan (visual, auditori dan tactile) seperti melihat gambar bertindih, mencari benda tersembunyi dalam gambar, membeza bunyi-bunyian dan menyentuh/merasa jenis permukaan. Seterunya ialah terapi motor halus iaitu memegang pensel dan menconteng atas kertas. Kemudian, terapi kuda iaitu menunggang kuda serta membetul postur badan dan perkembangan emosi.Dalam terapi pasir pula, kanak-kanak sindrom down perlu meramas pasir, menconteng atas pasir, bermain dengan pasir untuk kemahiran motor halus.Selain itu ialah terapi air di mana pelajar akan bermain dengan bola dalam air bagi pengukuhan pergerakan dan perkembangan otot.




Rujukan: 
Mohamed, J. K. (2006). Pendidikan Khas untuk Kanak-kanak Istimewa. Kuala Lumpur: PTS PROFESSIONAL.

No comments:

Post a Comment